Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata,  penyediaan makanan berkhasiat penting bagi melahirkan modal insan lebih sihat dan aktif sekali gus memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi yang sedang pesat membangun.

Menurutnya, kira-kira 60 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Malaysia berdepan masalah pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan dan obesiti berdasarkan 
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dijalankan tahun lalu.

"Masalah tersebut berpunca daripada kekurangan nutrisi serta amalan pengambilan makanan tidak berkhasiat dalam kalangan golongan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut manakala 15 peratus kekurangan berat badan dan 23 peratus lagi obes," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pemakanan Sihat Bersama NuMee 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Zainal Shaari Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, produktiviti dan pembangunan modal insan seperti diinspirasikan dalam program Tranformasi Ekonomi Negara tidak akan dicapai sekiranya kesihatan golongan muda tidak diberikan penekanan sejak awal lagi.

"Program pemakanan sihat bersama Numee yang kita lancarkan pada hari ini  adalah salah satu contoh terbaik gabungan kedua-dua elemen dalam sektor terbabit.

"Sumbangan makanan sebegini menyokong hasrat kerajaan dalam melaksanakan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada kanak-kanak menggunakan hasil cukai gula tahun depan,"ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Gardenia Bakeries telah menyumbangkan 20,400 pek mee kuning Numee kepada 100 buah sekolah terpilih di seluruh negara.

Sumbangan itu adalah bersamaan dengan 122,400 hidangan sihat untuk dinikmati oleh murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September tahun ini. - K! ONLINE