Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas Syarikat Twin Cycle Resources Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengarah syarikatnya, Noreaida Md. Shah, 36, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Rofiah dalam penghakimannya menegaskan supaya sentiasa prihatin dengan kesan yang dihasilkan oleh premis berkenaan kepada orang ramai.

“Jangan hanya fikir keuntungan sahaja tetapi kena juga bertanggungjawab dengan orang sekeliling.

“Mungkin perniagaan kita beri kesan kepada bayi, warga emas, pesakit asma, binatang, hidupan sungai serta boleh jejaskan pendapatan orang lain,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat terbabit didapati menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal plastik terpakai tanpa mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling mengikut cara ditetapkan.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan yang mula beroperasi tahun ini didakwa gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Pengarah Alam Sekeliling sebelum membina kemudahan membasuh plastik terpakai hingga menghasilkan punca baharu pembuangan perindustrian.

Syarikat berkenaan turut dituduh gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Pengarah Alam Sekeliling sebelum memulakan operasinya yang telah mengakibatkan pencemaran udara.

Bagi pertuduhan terakhir, syarikat itu didakwa gagal melengkapkan premis dengan sistem kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi ditetapkan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Rawang pukul 12.01 tengah hari pada 5 Mac lalu.

Justeru, syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 34A(2), Peraturan 49(1)(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Peraturan 5(1)(b) dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara di antara dua hingga lima tahun atau denda RM100,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Faizura Mohd. Ali manakala peguam Nasrul Hadi Mat Saad mewakili syarikat berkenaan. - K! ONLINE