Hakim Rofiah Mohamad memutuskan demikian selepas Syarikat Hijau Kitar Semula Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengurusnya, Wan Adnan Wan Ab. Rahim mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan penjara 44 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Mereka membayar denda itu.

Rofiah dalam keputusan penghakimannya memberitahu, siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor adalah hasil aduan orang awam.

"Dalam mencari rezeki dan keuntungan, perlu menjaga alam sekitar dan kesihatan orang awam.

"Persekitaran itu mungkin terdiri daripada pelbagai kategori termasuk bayi, kanak-kanak dan orang tua dengan asap (hasil operasi kilang) amat sensitif," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Pengarah Syarikat Hijau Kitar Semula Sdn. Bhd. didapati telah menjalankan kitar semula sisa pepejal iaitu pembinaan loji pulih guna rawatan terma relau tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Justeru, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(38) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Pengarah syarikat itu juga didakwa dua pertuduhan lain iaitu menjalankan aktiviti yang mewujudkan punca pencemaran udara iaitu pembakaran sisa pepejal di dalam relau dan gagal melengkapkan premis dengan sistem kawalan pencemaran udara.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen Peraturan 5(1) (b) dan Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 29, peraturan dan akta sama.

Jika sabit kesalahan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan Siswi Kanan, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam pukul 11.15 pagi pada 8 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya JAS Selangor, Zulaikha Mokhtar mencadangkan satu hukuman setimpal berikutan melibatkan kepentingan awam.

"Berdasarkan siasatan aduan orang awam berasas dengan kilang itu didapati tanpa dilengkapi sistem pencemaran udara pembakaran sisa pepejal tanpa kelulusan JAS.

"Aktiviti dijalankan sangat berpotensi mencemarkan alam sekitar dan memberikan impak kepada kesihatan awam," tegasnya.

Bagaimanapun Peguam J. Darshne mewakili OKS memohon hukuman diringankan susulan merupakan kesalahan pertama.

"OKS menjalankan operasi mereka pada 11 Januari 2018  dengan mendapatkan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Tanah Daerah Klang, Pejabat Kesihatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Hanya satu JAS sahaja OKS terlepas pandang dan telah mengambil langkah dengan memohon kelulusan JAS bagi memastikan perniagaan mengikut garis panduan," katanya. - K! ONLINE