Pengasas syarikat tersebut yang didakwa merupakan seorang usahawan bergelar Datuk Seri dikatakan telah melarikan diri ke negara jiran selepas memperdayakan pelabur-pelabur terbabit yang terdiri daripada kakitangan awam, pesara dan peniaga. 

Menurut salah seorang mangsa, Salamah Shamsudin, 57, kebanyakan mereka kerugian antara RM10,000 sehingga RM250,000 dan terpaksa menanggung bebanan hutang yang dibuat dengan pihak bank. 

"Niat saya mahu menghasilkan pendapatan setelah pencen lalu menyertai skim perniagaan tersebut dengan modal RM40,000 termasuk melalui pinjaman bank dan kemudian saya tambah lagi RM10,000 daripada Tabung Haji.

"Bagaimanapun, sehingga kini segala yang diharapkan punah malah terpaksa mengenepikan hasrat menunaikan ibadah haji dan menanggung bebanan hutan bank," katanya ketika ditemui bersama individu lain yang turut menjadi mangsa di Kampung Hulu, di sini hari ini.

Sementara itu, Bajili Bakri, 34, dan seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Shah, 32, memberitahu, ramai pelabur menyertai skim itu selepas terpengaruh dengan tawaran pakej iaitu sama ada kopi atau barangan lain mengikut pilihan berserta hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan. 

"Pada awalnya, pelabur-pelabur ada menerima bayaran dan terus terpengaruh apabila syarikat terbabit mengumumkan pembayaran hibah lebih lumayan akan diberikan. 

"Malangnya selepas itu, semua pembayaran hibah tunai yang patut diterima oleh ahli seperti yang dijanjikan tidak dibuat oleh syarikat berkenaan sehingga ke hari ini," kata Bajili. 

Difahamkan, sehingga kini lebih 2,000 ahli sudah membuat pelaburan di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM100 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - K! ONLINE