Pendek kata, tiada berita yang percuma walaupun berita yang dipetik daripada agensi dalam negeri seperti Bernama dan luar negara termasuk Reuters serta AFP kerana syarikat akhbar perlu membayar kos langganan berjumlah ratusan ribu ringgit setahun.

Berbanding syarikat akhbar, agensi berita terutamanya agensi antarabangsa menanggung kos yang lebih tinggi mencecah puluhan juta setiap bulan memandangkan mereka mempunyai pemberita dan koresponden di setiap pelosok benua untuk membuat liputan mengenai pelbagai peristiwa seperti bencana, politik serta peperangan.

Bagi mendapatkan balik perbelanjaan ataupun modal tersebut, syarikat-syarikat akhbar terutamanya di negara ini perlu mempunyai langganan mencecah ratusan ribu naskhah setiap hari. Syarikat akhbar pula lazimnya tidak bertongkat kepada langganan bagi mengaut keuntungan. Keuntungan syarikat akhbar sebaliknya dijana oleh iklan yang diperoleh. Bagaimanapun, seiring dengan kemajuan internet dan media sosial, banyak perkara mudah diperoleh dan dengan pantas serta yang paling penting, secara percuma,

Gergasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan enjin carian internet, Google yang begitu sinonim dengan generasi masa kini tidak perlu mengeluarkan modal walaupun satu sen untuk mendapatkan berita.

Sepanjang lebih satu dekad penulis berada di meja luar negara, penulis tidak pernah menemui perenggan yang menyebut presiden atau menteri sesebuah negara berkata demikian dalam satu wawancara bersama pemberita Facebook mahupun Google.

Walaupun begitu, laman Facebook dan Google tidak ke­tinggalan dengan paparan berita terkini daripada pelbagai pembekal berita dan agensi media. Oleh kerana hampir semua perkara terkandung dalam Facebook dan Google menyebabkan kedua-dua laman tersebut menjadi tumpuan ramai. Kedua-duanya juga menjana perolehan berbilion-bilion pada setiap tahun daripada bayaran iklan. Pemilik-pemilik jenama lebih cenderung memilih mod online tersebut sebagai alternatif kepada iklan konvensional seperti akhbar, televisyen dan radio.

Dari tahun ke tahun, perolehan iklan untuk syarikat akhbar semakin menurun, begitu juga jumlah langganannya. Ramai penganalisis menjangkakan bahawa akhbar merupakan industri senja, malah, ada yang meramalkan media tersebut akan pupus dalam masa tidak sampai 10 tahun lagi.

Pada era digital, syarikat-syarikat akhbar berlumba-lumba mendedahkan komoditi mereka iaitu berita, secara percuma di laman sosial, mengakibatkan orang ramai me­nyangka bahawa mendapatkan berita itu sesuatu perkara yang enteng atau mudah.

Pembekal-pembekal berita seperti syarikat akhbar walaupun berdepan persaingan sesama mereka, tidak mahu duduk semeja untuk membincangkan bagaimana mereka harus menghadapi era baharu tersebut.

Baru-baru ini, agensi berita luar negara seperti Reuters dan AFP berjaya melobi Parlimen Kesatuan Eropah melindungi hak cipta mereka dengan meluluskan rang undang-undang baharu. Ia bagi membolehkan agensi-agensi berita berkenaan mengenakan caj ke atas Google atau Facebook bagi penyiaran berita mereka. Mungkin juga tiba masanya untuk pembekal-pembekal berita di negara ini bertemu, malah bersidang bagi mencari jalan untuk menjaga periuk nasi mereka juga periuk nasi wartawan, jurugambar, pekerja kilang percetakan, pemandu dan ramai lagi kakitangan berkaitan.