Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil daripada risikan dan pemerhatian yang telah dilakukan.

“Suspek, Abu Paliyak, 31, dipercayai telah menyelinap masuk ke Malaysia setelah saki baki ahli kumpulannya dihapuskan pihak berkuasa Filipina, .

“Hasil siasatan dan risikan yang dilakukan berjaya membawa kepada penemuan suspek sebelum dia juga berjaya ditewaskan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Ke-62 di Pangkalan PSP, Cheras, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Komander PSP Malaysia, Datuk Wan Abdullah Ishak.

Kosmo! semalam melaporkan tentang kejadian berbalas tembakan di antara seorang anggota militan Abu Sayyaf dan pasukan keselamatan Esscom di perairan Laut Silam berhampiran Pulau Kalung Kalungan yang berakhir dengan kematian suspek.

Menurut Mohamad Fuzi, pihak polis kini dalam usaha menjejaki beberapa lagi individu yang turut berada di dalam senarai dikehendaki. - K! ONLINE