Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang, suspek lelaki berusia 32 tahun itu ditemui mati di belakang rumah mangsa dengan beberapa kesan luka pada anggota badan.

Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, penghuni rumah terbabit yang sama usia pula luka di kepala kiri dipercayai disebabkan senjata pemutar skru yang dijumpai di tempat kejadian.

"Terdapat luka di belakang kepala kiri dan kanan suspek dipercayai disebabkan senjata pisau pemotong sayur yang dijumpai di tempat kejadian.

"Suspek luka parah di belakang kepala juga luka di belakang tangan kiri dari siku ke bawah dan ke atas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahurinain, polis turut menemui dompet, wang tunai RM730, cincin emas dan telefon bimbit jenis Motorola yang merupakan barang samun pada suspek.

Mengulas lanjut, jelasnya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur yang diumpil dari luar.

"Suspek pecahkan pintu bilik utama dan terus mengugut dengan menggunakan pemutar skru supaya menyerahkan barang-barang berharga miliknya yang ketika itu berada dalam bilik.

"Kemudian suspek menggeledah bilik kedua dan ketiga dipandu mangsa yang dalam ketakutan  kerana suspek bersenjatakan pemutar skru," katanya.

Katanya, selepas mendapat barang-barang itu suspek cuba melarikan diri menerusi pintu dapur dan ketika itu mangsa mencapai sebilah bilah pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter.

"Mangsa kemudian mengarahkan suspek memulangkan semula barang-barang miliknya namun enggan lalu berlaku pergelutan sebelum suspek mati," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang beralamat di pekan Pendang, Kedah memiliki 14 rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain bedah siasat terhadap suspek akan dilakukan di Hospital Sultan Ismail di sini esok. - K! ONLINE