Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kes tersebut akan diselesaikan secepat mungkin bagi meredakan kerisauan orang awam.

"Ia merupakan kes paling kejam yang pernah berlaku di Terengganu dalam tempoh masa beberapa tahun kebelakangan ini selain penganiayaan ke atas mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Menurut Fazlisyam, suspek yang juga seorang penganggur berusia 25 tahun itu bakal berhadapan enam pertuduhan termasuk Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan senjata.

Jumaat lalu Kosmo! melaporkan seorang pembantu kedai menjadi mangsa kerakusan seorang penjenayah yang merogolnya dalam kejadian samun di sini.

Kejadian pukul 9.50 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 23 tahun berada bersendirian di premis berkenaan dan telah didatangi suspek yang menyamar sebagai pelanggan kononnya hendak membeli pakaian. - K! ONLINE