Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, mereka sebaliknya akan terus ditahan reman sebelum didakwa mahkamah dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bermula tahun ini.

"Kita tidak akan keluarkan lagi saman atau kompaun kepada mereka, sebaliknya kita akan tangkap dan reman selama beberapa hari sebelum membawa mereka ke mahkamah untuk didakwa.

"Mana-mana pihak yang terlibat dengan barang tiruan ini juga kita akan pastikan mereka didakwa dibawah akta pengubahan wang haram," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP melibatkan barangan tiruan bernilai RM6,737,239 termasuk toner dan katrij bernilai RM3,108,300.

Turut dilupuskan kasut, beg, baju, minuman keras dan beberapa barang elektronik tiruan.

Iskandar Halim berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tindakan yang lebih tegas untuk membasmi gejala barang tiruan yang menyebabkan kerugian besar kepada ramai pihak.

Menurutnya, KPDNHEP turut menampung kos yang tinggi untuk melupuskan barang tiruan yang dirampas kerana kerja-kerja itu tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kos untuk melupuskan toner pada hari ini (semalam) sahaja sebanyak RM266,000 kerana kita tidak boleh melupuskannya secara sesuka hati. Kita bayar syarikat untuk melupuskannya," katanya. - K! ONLINE