Rakaman hampir empat minit yang tular di media sosial itu menunjukkan guru tersebut meninggikan suara kerana dipercayai tidak diberikan tempat duduk dalam mesyuarat dihadirinya selepas membuat bayaran sebanyak RM70. 

Guru berkenaan menghentak-hentakkan tangan di atas meja dan beberapa kali dilihat meludah di dalam bilik mesyuarat tersebut.

Susulan insiden tersebut, Kementerian Pendidikan telah memindahkan guru terbabit ke pejabat pendidikan daerah sehingga siasatan selesai.

Dalam satu kes yang lain, seorang pelajar tingkatan dua mati otak selepas menggantung dirinya dikatakan gara-gara tertekan dituduh mencuri telefon bimbit gurunya minggu lalu.

Pelajar sekolah menengah di Nibong Tebal, Pulau Pinang itu disoal siasat oleh tiga orang guru selepas iPhone milik salah seorang guru berkenaan hilang. Pelajar perempuan itu dikatakan dikurung selama lima jam di dalam sebuah bilik tanpa diberi makan dan tidak dibenarkan ke tandas bagi memaksa mangsa mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Akibat tindakan ekstrem itu, guru terbabit juga telah dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah.

Kedua-dua kes tersebut adalah contoh teladan songsang yang boleh menyebabkan keyakinan terhadap profesion perguruan menjadi bahan senda masyarakat. Mujurlah dua kejadian itu dianggap kes terpencil. 

Hakikatnya, tugas paling berat bagi seorang guru bukanlah menyampaikan ilmu agar difahami oleh muridnya semata-mata, sebaliknya bagaimana menunjukkan teladan sehingga memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi manusia yang baik dan berakhlak mulia.
Pakar-pakar tingkah laku manusia percaya cara mendidik yang lebih berkesan bukanlah melalui paksaan tetapi teladan. Orang yang dididik lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar. Pendek kata, bagaimana acuan, begitulah hasilnya.
Begitu juga sikap ibu bapa terhadap anak-anak di rumah atau sikap bos terhadap orang bawahan di tempat kerja. 

Jika ingin anak kita rajin membaca buku, tunjukkan kita juga rajin membaca. Bukan sahaja membaca surat khabar tetapi juga pelbagai jenis majalah dan buku. 

Anak-anak muda di Jepun contohnya terkenal dengan budaya membaca apa sahaja bahan bacaan kerana mereka sudah terbiasa melihat ibu bapa dan orang dewasa di negara itu membaca di mana sahaja termasuk di taman rekreasi dan di dalam kereta api. 

Jika ingin anak rajin solat dan menghafal al-Quran, ibu bapa juga harus rajin menghafal al-Quran dan solat sama ada di rumah atau di masjid. Jangan anak disuruh mengulang kaji, solat, membaca al-Quran atau menghormati orang tua tetapi kita sendiri lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan bermain telefon bimbit di rumah atau bersikap tidak sopan di hadapan mereka ketika memandu di jalan raya. 

Kalau kita jadi bos dan menyuruh orang bawahan menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri sentiasa tidak menepati waktu dan kerja sering tertangguh, maka mereka lebih mudah terikut-ikut dengan apa yang mereka nampak kita lakukan. 

Andai ditelusuri sejarah, kita akan dapati ulama terdahulu amat takut melakukan perkara yang dianggap salah sama ada dilihat atau tidak dilihat orang. Sikap itu malah diabadikan dalam bait-bait kata seperti: “Sungguh, ketika bermaksiat kepada Allah, aku mengetahui kesan buruknya ada pada perilaku isteriku, keluargaku, dan haiwan tungganganku.”

Setiap orang ada teladan yang mesti ditunjukkan kepada orang yang diamanahkan untuk dijaganya atau kepada pengikutnya. Kita semua adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan. Guru teladan utama bagi pelajarnya, suami teladan isteri, ibu bapa teladan anak-anak, selebriti teladan peminat manakala pemimpin negara teladan rakyat.

Tunjukkanlah teladan yang baik. Jangan jadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dia sendiri berjalan serong.