Nor Azirah Abdul Hamid, 36, berkata, anak kembarnya itu dilahirkan pada pukul 1.25 pagi dan 1.34 pagi ini.

"Saya tidak menyangka akan melahirkan anak kembar pada tarikh keramat ini kerana saya dijangka bersalin pada 20 September depan," katanya ketika ditemui di wad HSB di sini hari ini.

Katanya, anak kembarnya yang diberi nama Muhammad Syafi Ammar Aziz dan Muhammad Syafi Amsyar masing-masing dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram (kg) dan 2.5kg.

"Kembar ini merupakan anak keempat dan kelima saya yang mana anak sulung sudah berusia 14 tahun diikuti anak kedua tujuh tahun dan ketiga enam tahun," ujarnya.

Tambahnya, dia dan suami, Aziz Azizan, 38, berdoa agar anak kembar mereka itu menjadi manusia yang berguna dan cintakan negara.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, sebanyak 33 kelahiran dengan 34 orang bayi termasuk kembar selamat dilahirkan di empat hospital kerajaan pada hari sambutan ulang tahun kemerdekaan negara sehingga pukul 11 pagi ini. - K! ONLINE