Difahamkan terdapat kira-kira 7 syarikat perlombongan bijih itu telah beroperasi di kawasan Aring 5 sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk mendakwa mereka tidak berani menggunakan sumber air sungai sejak lebih 10 tahun lalu dan hanya menggunakan air tandak yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan di kampung itu. 

Seorang penduduk, Azura Jusoh 34, berkata, Sungai Aring yang menjadi nadi kehidupan lebih 30 keluarga sejak lebih 20 tahun lalu sudah tercemar teruk dan sukar untuk dipulihkan.

Katanya, sebanyak 35 buah rumah dan 14 rumah banjir hanya bergantung kepada sumber air tandak untuk aktiviti harian termasuklah memasak dan air minuman.

“Kita sedihlah kalau dahulu dapat juga kita mencari ikan sungai di kawasan sungai itu, namun kini tidak lagi.

“Melihat kepada keadaan sungai itu, kita yakin ikan juga tidak dapat hidup dalam air itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Seorang lagi penduduk, Ahmad Mat’ In, 66, yang tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lalu berkata, sebelum ini Sungai Aring cukup bersih dan jernih sehingga mereka menggunakan air sungai sebagai minuman.

Katanya, mereka telah menggunakan sistem generator untuk menyedut air sungai terus ke kawasan rumah mereka.

“Kami selaku penduduk tempatan kesal apabila sungai yang sepatutnya kita jaga telah tercemar.

“Kami juga kecewa apabila tiada usaha daripada pihak berwajib untuk memulihkan kualiti air sungai,” katanya. - K! ONLINE