Berdasarkan hasil Kajian Sumber Air Negara 2000-2050, Pahang merupakan antara negeri yang tidak mempunyai masalah sumber air.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setakat ini Pahang mempunyai kira-kira 258,951. 88 hektar kawasan hutan tadahan air yang diwartakan di bawah Seksyen 10(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Masalah bekalan air bukan satu masalah buat negeri Pahang memandangkan kita mempunyai kawasan tadahan hutan yang luas bagi menampung keperluan air di negeri ini.

"Tambahan pula, setakat ini dua buah lagi empangan telah siap dibangunkan iaitu Empangan Chereh di sini dan Empangan Kelau di Raub," katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di sini hari ini. - K! ONLINE