Baginda tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.25 pagi sambil diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam, Datuk Haris Kasim serta para pegawai tinggi kerajaan.

Solat sunat Aidiladha diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,  Ustaz Abdul Karim Omar, manakala khutbah solat sunat Aidiladha disampaikan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Sebaik sahaja menunaikan solat Aidiladha, baginda dan permaisuri berkenaan bersarapan pagi bersama tetamu kenamaan sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, Mohd. Tamyes dalam khutbah bertajuk 'Inilah Korbanku, Terimalah Ya Allah' menyeru umat Islam supaya menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang amat mencintai serta mematuhi perintah Allah SWT. 

"Sesungguhnya ibadah korban itu bukan hanya menikmati daging-daging korban yang diagih-agihkan, tetapi daging-daging itu diharap dapat menyuburkan tali persaudaraan sesama umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 25 ekor lembu termasuk seekor sumbangan Kerajaan Negeri akan dikorbankan dalam ibadah korban yang diadakan di perkarangan masjid itu hari ini. - K! ONLINE