Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, baginda bertitah demikian sejurus menerima menghadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) di Istana Kinta di sini hari ini.

“Baginda telah memberi pilihan kepada PH yang mempunyai majoriti paling besar iaitu 29 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan syarat parti itu mempunyai majoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN,” katanya ketika ditemui di hadapan Istana Kinta di sini hari ini.

Jelasnya, Pejabat Sultan Perak telah menerima surat daripada BN yang memaklumkan parti itu mempunyai majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“BN memenangi 27 kerusi dan tiga ADUN Pas yang memenangi tiga kerusi telah disembah maklum mereka bersetuju untuk membentuk satu kerajaan bersama BN.

“Walau bagaimanapun, baginda mahu meneliti dan mengesahkan surat tersebut dan BN diminta membawa kesemua 30 ADUN itu bagi membuktikan mereka ada sokongan daripada 30 orang itu,” katanya.

Katanya, jika PH tidak dapat membuktikan mereka mempunyai majoriti mudah, baginda tidak boleh menangguh lama untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, sekiranya PH dapat membuktikan mereka mempunyai cukup 30 kerusi, baginda akan menimbang semula perkara ini.

“PH memohon masa sehingga pukul 2 petang esok untuk tujuan itu,” katanya. - K! ONLINE