Baginda menerima banyak aduan khususnya daripada pesakit HSA tidak dapat tidur disebabkan bunyi bising enjin motosikal akibat perlumbaan haram yang kerap berlaku terutama pada lewat malam.

Tuanku Sultan Ibrahim mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti itu.

“Berhenti dari terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah ini… fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya,” titah Tuanku Sultan Johor kepada Royal Press Office.

Baginda bertitah, Almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pernah menyebut bahawa dia sukar beradu pada waktu malam semasa menerima rawatan di Wad DiRaja HSA disebabkan bunyi kuat motosikal.

Tuanku Sultan Ibrahim menegaskan, keadaan sama dialami oleh menantu Baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam ketika melahirkan kedua-dua anakandanya.

“Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

“Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad DiRaja HSA,” titah Baginda. - Royal Press Office.