Jurulatih skuad berbasikal trek Johor, Muhammad Firdaus Daud berkata, penganjur mempunyai pilihan sama ada mengadakan perlumbaan trek di jalan raya ataupun menganjurkannya di Velodrom Nilai.

Beliau berkata, menjadi satu kerugian kepada pembangunan acara berbasikal trek itu sendiri jika dibatalkan kerana kebanyakan atlet negeri sudah membuat  persiapan bagi menghadapi temasya sukan itu pada September depan.

"Tidak wajarlah dibatalkan sebab kebanyakan negeri sudah membuat persediaan awal, dan ada yang telah membeli segala peralatan dan basikal baharu bagi menghadapi Sukma 2018. Lagipun ini acara Olimpik dan kita ada bekas juara dunia. Rugi kalau digugurkan.

"Malah ia menjejaskan pembangunan atlet dan matlamat Sukma itu sendiri untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam acara trek. Malaysia antara negara mempunyai pelumba trek terbaik dunia, tetapi di peringkat akar umbi gagal melaksanakan program pembangunan pula jika dibatalkan acara ini.

"Kalau  tidak ada velodrom, boleh dilaksanakan di jalan raya seperti yang pernah dilakukan di temasya Sukma sebelum ini. Atau tukar venue ke Nilai untuk acara trek sahaja sebab Velodrom Nilai bertaraf antarabangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How mengumumkan acara berbasikal trek Sukma Perak 2018 dibatalkan ekoran keadaan trek permukaan kayu di Velodrom Rakyat Ipoh membahayakan pelumba.

Katanya, berdasarkan keadaan velodrom berkenaan, adalah mustahil untuk melangsungkan acara berbasikal trek pada temasya sukan dwitahunan itu yang dijangka berlangsung pada 12 hingga 22 Sept.

Beliau berkata keadaan trek kayu didapati sudah reput, terkopak dan berlumut walaupun selepas kerja baik pulih yang menelan belanja RM11 juta.

Acara trek berbasikal Sukma 2018 mempertandingkan 12 acara, masing-masing enam acara lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata beliau sendiri akan ke Ipoh bagi meninjau keadaan sebenar Velodrom Rakyat itu.

"Kalau tidak salah saya, trek kayu itu masih dalam waranti. Mungkin usaha membaik pulih boleh dijalankan tanpa melibatkan sebarang kos. Cumanya, pihak bertanggungjawab perlu tampil untuk selesaikan perkara ini agar usaha membaik pulih boleh dilakukan segera," katanya. - Bernama