Ketua Pegawai Eksekutif Projek  Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), pemegang konsesi SUKE dan DASH, Datuk Mohammad Azlan berkata kedua-dua lebuh raya itu juga dijangka mengurangkan trafik di kawasan masing-masing sehingga 30 peratus apabila siap kelak.

Beliau berkata, SUKE yang menghubungkan Sri Petaling dan Bukit Antarabangsa, akan memendekkan tempoh perjalanan kepada hanya 25 minit, manakala DASH pula menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dan Penchala Link di Damansara Perdana, dengan tempoh perjalanan kepada hanya 20 minit.

SUKE akan menjadi laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dalam mengurangkankesesakan trafik yang teruk, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau kerja-kerja pembinaan projek SUKE di Alam Putra, Cheras di sini.

Mohammad Azlan berkata SUKE yang bernilai RM4.6 bilion dan DASH bernilai RM4.1 bilion masing-masing akan mempunyai 14 dan 13 persimpangan.

Kerja-kerja cerucuk bagi kedua-dua lebuh raya itu telah dimulakan dengan kerja-kerja projek SUKEdilaksanakan Kumpulan Jetson Bhd bersama-sama China Communications Construction Co Ltd yang berpangkalan di Beijing manakala projek DASH dijalankan oleh Turnpike Synergy Sdn Bhd.

Sementara itu, kajian Prolintas mendapati pengguna SUKE akan dapat menjimatkan kos bahan api kepada RM3 berbanding RM9 ketika ini dan kos bukan bahan api daripada RM15.60 kepada RM5.20, manakala pengguna DASH dapat mengurangkan kos bahan api kepada serendah RM1.70 daripada RM6 dan kos bukan bahan api kepada RM4.78 daripada RM7.13. - Bernama