Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, selain akademik, penekanan akan turut diberikan kepada aspek nilai-nilai murni.

"Sebenarnya silibus Kemas sentiasa ditambah baik yang mana sebelum ini kita memperkenalkan program Tabika Kemas Pintar Stream iaitu modul pembelajaran bersifat interaktif.

"Kita juga memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek akademik tetapi yang penting sebenarnya adalah nilai-nilai murni," katanya selepas melawat Prowheels (M) Sdn. Bhd. di Kubang Rotan di sini hari ini.

Justeru, kata beliau, sukatan pendidikan ditawarkan Tabika Kemas relevan dengan keperluan semasa di samping bayaran bulanan yang rendah berbanding yuran dikenakan tadika swasta.

"Tabika Kemas juga pernah menerima pengiktirafan anugerah (Trusted Brand of the Year 2017) oleh Reader's Digest daripada segi silibus pada tahun 2017," ujarnya.

Selain itu, menurut Rina, pihaknya juga menitikberatkan isu dihadapi pasangan muda yang mempunyai anak kecil dan terpaksa keluar bekerja sehingga petang.

"Sebanyak 50 lagi Tabika Kemas Transit akan dibuka pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 78 buah tabika transit di seluruh negara menjelang hujung tahun ini," jelasnya.
Tambahnya, pihaknya menerima banyak permintaan terhadap tabika transit itu dan akan melihat kesesuaian lokasi dan peruntukan bagi mewujudkan kemudahan tersebut. - K! ONLINE