Menurut pakar-pakar perubatan, manusia tidak boleh hidup tanpa meminum air hanya dalam tempoh selama beberapa hari. 

Tamadun-tamadun awal juga dibina di tebing sungai sekali gus menunjukkan betapa pentingnya ciptaan Tuhan itu kepada manusia.  

Kebergantungan hidup manusia terhadap air menyebabkan lebih dua juta penduduk Lembah Klang mengeluh apabila bekalan air bersih terputus selama enam hari bermula Selasa lalu sehingga Ahad ini.

Gangguan itu berlaku disebabkan kemalangan di luar jangka di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSPN3) di Ijok, Selangor yang menyebabkan beberapa pekerja ce­dera pada 6 Mac lalu.

Kejadian itu berlaku selepas sistem mampatan udara di loji berkenaan pecah ketika mereka melakukan kerja-kerja pembaikan di loji rawatan tersebut.

Gangguan itu menyebabkan penduduk Lembah Klang terpaksa menyimpan air dalam tong dan pelbagai jenis bekas takungan air.

Penulis dimaklumkan ada penduduk yang sanggup menyimpan air di dalam tong sampah dan mesin basuh di kawasan perumahan di Shah Alam.

Terdapat juga penduduk yang mandi di pejabat. Situasi itu berlaku kerana pejabat itu mempunyai tangki yang ba­nyak menyimpan air.

 Ada juga rumah yang tidak mempunyai tangki air. Penghuninya terpaksa menggunakan pelbagai jenis tong untuk menyimpan air bagi menghadapi situasi kritikal itu.

Terdapat juga penduduk yang menggunakan air mineral untuk mandi. Jualan tong air di kedai-kedai turut laris apabila dibeli oleh ramai pengguna.

Peniaga makanan di restoran dan kilang juga membuat persediaan awal bagi menghadapi situasi itu.

Kehidupan keluarga yang mempunyai anak kecil yang ramai dan tinggal di rumah flat dan apartmen juga mengalami kesukaran dalam tempoh enam hari untuk mencuci pakaian dan menggunakan tandas.

Ketiadaan air bagi tempoh yang lama itu juga menyebabkan ada sebahagian penduduk mahu bercuti pada hujung minggu ini di luar Shah Alam bagi mengurangkan stres.

Ragam warga Lembah Klang dan Shah Alam menghadapi masalah yang tidak dijangka itu boleh dilihat menerusi ­aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Bukannya sekali dua penduduk di sekitar ibu kota mengalami gangguan bekalan air. Namun, menurut seorang kenalan penulis di Shah Alam, tempoh enam hari itu dirasakan terlalu lama untuk tahun ini.

Sebelum ini, penduduk di bandar raya itu diperkenalkan dengan kempen hari tanpa kenderaan tetapi kali ini terdapat juga hari tanpa air.

Justeru,  penulis berharap kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air SSPN3 di Ijok dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih awal.

Ketika menunggu kerja-kerja pembaikan itu siap sepenuhnya, pihak-pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

 Tindakan segera seperti penghantaran lori air ke kawasan perumahan perlu dihebahkan supaya penduduk mudah untuk mendapatkan bekalan air.

Jika ia dapat dilakukan, kesengsaraan penduduk akan berakhir kerana setiap manusia di dunia mengetahui betapa sukarnya untuk hidup jika tiada bekalan air bersih.

Terdapat satu lagi isu yang perlu diberi perhatian serius ialah penyelenggaraan loji rawatan air supaya setiap kerosakan dapat dibaiki dengan segera.

Jika kerosakan tidak dibaiki dengan segera selepas dikesan lebih awal, sudah tentu pengguna di Lembah Klang dan Selangor akan mengalami masalah yang sama berulang kali.