Tanpa menanam kukuh sifat yakin dalam jiwa, apa jua projek yang dibuat, rekod menunjukkan ia tidak akan ke mana.

Lazimnya juga ia akan berakhir dengan kegagalan.

Atas sebab itu, prinsip ‘yakin boleh’ serta sikap tidak mudah putus asa dan terus berjuang perlu disemai serta dibaja dalam setiap sanubari hati rakyat Malaysia.

Sehubungan itu barangkali semangat Malaysia Boleh perlu disuburkan semula agar rakyat negara ini yakin tidak ada impian yang tidak boleh dicapai dalam dunia yang penuh dengan perangkap samar dan bom jangka.

Bagaimanapun selain yakin boleh yang merupakan prinsip asas kepada kejayaan, kikis jauh-jauh tabiat melaksanakan kerja tanpa perancangan jitu, sistematik dan teliti serta seperti melepaskan batuk di tangga.

Memandangkan sekarang era Malaysia Baharu, amat kenalah masanya sema­ngat Malaysia Boleh ditanam khususnya dalam diri pemimpin dan pihak berkuasa.

Kita sekarang bukan hendak menawan puncak Everest, yang sudah pun kita takluk beberapa tahun lampau. Itu kisah silam kejayaan Malaysia Boleh.

Mengelilingi dunia melalui lautan ganas juga pernah dilakukan oleh wira Malaysia ketika era kegemilangan dan kegilaan negara mencatat rekod. di sana sini.

Moral ceritanya tidak ada yang mustahil dan pelik dalam kamus Malaysia Boleh. Semuanya boleh dilakukan.

Nah sekarang, bila negara berdepan dengan pelbagai misi dan ‘janji luar biasa’, inilah masanya semangat Malaysia Boleh disuntik semula secara agresif.

Sebagai contoh, sebaik berakhir sambutan merdeka malam 31 Ogos 2018, ‘perang kos sara hidup dan harga barang’ menanti negara.

Kalaulah Everest dapat kita tawan dan lautan kejam dapat kita jinakkan, sudah tentulah ‘ibu segala peperangan’ ini tidak mustahil Malaysia Baharu tundukkan.

Kejayaan misi mega ini bergantung rapat juga kepada peranan pihak berkuasa dan orang ramai. Mereka kena bergerak bagai isi dengan kuku. dan aur dengan tebing.

Andainya pihak berkuasa tidak yakin dapat menumpaskan ‘musuh’ ini dan memenangi peperangan domestik alamat sampai bila-bilalah insan-insan yang rakus mengaut keuntungan berlebihan terus bermaharajalela.

SAPU BERSIH: Ambillah pengajaran daripada peristiwa raya korban dan sejarah mencapai kemerdekaan negara dalam membina Malaysia Baharu.

Awal September ini, penulis membuang undi lagi bagi kawasan DUN Balakong.