Terbaharu, pada Khamis lalu, seorang tukang rumah dipenjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan selepas mengaku salah memukul isteri pertamanya.

Persoalan yang terlintas di hati kita ialah kenapa seseorang suami sanggup dan sampai hati mendera isterinya? Sedangkan semasa bercinta dahulu, segala pujuk rayu dan janji manis digunakan untuk memikat hati si isteri.

Selisih faham, berbeza pendapat dan berbalah antara suami isteri adalah suatu yang lumrah. Setiap orang dibesarkan dengan cara berbeza dan tentunya mempunyai pendapat yang berbeza dalam sesuatu perkara.

Sebab itu ada sesetengah perkara dianggap penting oleh isteri tetapi tidak dianggap pen­ting oleh suami dan begitulah sebaliknya. Jika perbezaan ini tidak dapat diatasi dengan baik, ia boleh berakhir dengan perbalahan sehingga membawa kepada pukul-memukul dan sebagainya.

Alasan yang diberikan oleh si suami memukul isterinya adakalanya tidak masuk akal. Tukang rumah berkenaan memukul isteri pertamanya hingga cedera pada bibir kerana tidak tahan mendengar bebelan wanita terbabit.

Ada juga yang memukul isteri kerana tidak diberi wang untuk digunakan membeli dadah atau berjudi. Ada pula suami yang cakap dia pukul isterinya sebab nak mengajar tetapi pukul isteri sampai lebam-lebam.

Memukul isteri sebenarnya dibenarkan oleh Islam bagi tujuan me­ngajar. Namun begitu, ia dikhaskan kepada isteri yang nusyuz atau derhaka dengan mengingkari perintah suami dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan syarak. Contohnya, enggan solat walaupun telah dinasihatkan berulang kali atau keluar rumah tanpa izin suami.

Malangnya, dalam masyarakat kita, kes pukul isteri ini selalunya bukan sebab melanggar hukum Allah sebaliknya kerana bertengkar dan berselisih faham antara suami isteri.

Keharusan memukul isteri itu juga datang dengan syarat yang perlu dipatuhi setelah segala proses mendidik, memujuk dan menasihat gagal. Pukulan yang dilakukan juga merupakan pukulan yang ringan dan untuk memberi kesedaran sahaja.

Suami dilarang sama sekali memukul pada wajah dan tidak boleh memukul sehingga me­nimbulkan kesan atau membahayakan isteri. Isteri yang kita nikahi atas dasar suka sama suka dan cinta itu bukanlah punching bag untuk kita lepaskan kemarahan.

Memang benar, dalam sesebuah keluarga, suami sebagai ketua keluarga memang kadangkala perlu menunjukkan kuasa veto mereka. Namun tidak perlulah menggunakan kekerasan dalam menzahirkan kuasa yang ada.

Adakah perbuatan memukul isteri ini dapat menunjukkan sifat kejantanan si suami? Suami sepatutnya melindungi isteri mereka dan bukan sebaliknya dengan memukul mereka sewenang-wenangnya. Hanya lelaki dayus berbuat demikian.

Jika ditakdirkan tiada lagi jodoh, jangan dipukul atau dicederakan isteri. Sebaliknya pulangkan mereka de­ngan baik sebagaimana mula-mula menyunting mereka sebagai suri hati dahulu.