Difahamkan, ibu muda berusia 19 tahun itu baru melahirkan bayi pra matangnya seminggu lalu dan terpaksa ke lokasi operasi bagi mengambil anak sulung mereka berusia tiga tahun yang dibawa bersama oleh lelaki berkenaan. 

Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohd. Zaki Hussin berkata, dalam operasi bermula pukul 9 malam itu, lelaki berusia 25 tahun terbabit ditahan ketika menunggang motosikal bersama anak perempuannya. 

"Pemeriksaan lanjut ujian air kencing bagaimanapun mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemilihan) 1983 Pindaan 1998.

"Pihak kami kemudian meminta dia menghubungi keluarganya untuk datang ke lokasi operasi bagi mengambil kanak-kanak tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi kira-kira pukul 12 tengah malam. 

Jelasnya, hasil soal siasat, lelaki terbabit juga mengakui dia pernah ditahan dan berada di dalam tempoh pengawasan pihak polis atas kesalahan sama. 

Mohd. Zaki berkata, dua lagi lelaki masing-masing berusia 24 dan 26 tahun turut ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin. 

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam operasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu, sebanyak 13 buah motosikal disita dan 110 Notis Saman JPJ (P22) dikeluarkan membabitkan pelbagai jenis kesalahan. 

"Sebanyak 740 buah kenderaan telah diperiksa dan 104 telah diambil tindakan dengan sejumlah 147 kesalahan dikesan. Sebanyak 110 notis saman dikeluarkan terhadap kenderaan terbabit.

"Kita juga telah menyita 13 buah motosikal pelbagai jenis termasuklah Honda EX5, Honda Wave, Yamaha Sport, Yamaha 125 dan Yahama Nouvo," katanya. - K! ONLINE