Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Lans Koperal Ramlan Drahman, 30, dan isterinya, Norazizah Ibrahim, 27, hanya mengalami cedera ringan biarpun bahagian hadapan kereta Proton Exora miliknya remuk teruk. 

Ramlan yang bertugas di Pondok Polis Kampung Bantal, Ulu Tembeling berkata, dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai urusan di bandar ini. 

"Sebelum itu saya sudah rasa tidak sedap hati namun terpaksa pulang sebelum malam kerana perjalanan mengambil masa hampir dua jam apatah lagi hujan lebat. 

"Saya memandu dengan perlahan kerana keadaan jalan gelap akibat hujan lebat dan tiba-tiba kereta saya terlanggar pokok yang telah tumbang di atas jalan," katanya kepada Kosmo! Online hari ini. 

Menurutnya, dia bersyukur kerana mereka berdua selamat dan tidak dapat bayangkan sekiranya pokok besar itu tumbang di atas keretanya. 

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang bertungkus-lumus menyelamatkan kami," ujarnya. 

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih satu kilometer di kedua-dua arah hampir dua jam. 

Sementara itu, penduduk kampung merayu agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya ekoran kejadian pokok tumbang sering berlaku di laluan berkenaan setiap kali hujan lebat. - K! ONLINE