Dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 3 pagi itu, kesemua anak pasangan itu yang diselamatkan berusia dua minggu, setahun, tiga, lima, 10, 11, 13 dan 15 tahun.

Suami isteri masing-masing berusia 43 dan 38 tahun itu dicekup sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Melaka Tengah selepas pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai sepeket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.15 gram.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, sepasukan penguat kuasa JKM bersama-sama BSJND dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Mencari Keberkatan (KMK) telah berada di lokasi sejak pukul 8 malam dan serbuan dibuat tujuh jam kemudian.

"Selepas ibu bapa mereka dicekup, penguat kuasa JKM bertindak menyelamatkan kesemua lapan beradik yang berada di dalam rumah.

"Ketujuh-tujuh anak pasangan itu akan ditempatkan di bawah jagaan orang yang layak (saudara) manakala seorang remaja lelaki berusia 15 tahun akan dihantar ke sebuah institusi JKM untuk sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lapan beradik yang diselamatkan itu akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk mendapatkan perintah jagaan sementara dibawah Akta Kanak-kanak 2001 (pindaan) 2016 dan Institusi JKM.

Difahamkan, aduan mengenai keluarga terbabit diterima oleh pihak KMK daripada penduduk setempat yang mendakwa kesemua kanak-kanak itu hidup di dalam keadaan tidak terurus dan serba daif.

Pengerusi KMK, Azie Izhar berkata, anak-anak pasangan itu juga dilaporkan tidak bersekolah sejak awal tahun ini malah keluarga terbabit dikatakan sering berpindah randah di beberapa lokasi sekitar negeri ini.

"Lebih menyayat hati apabila mereka mengadu sering makan nasi goreng kosong dengan garam malah anak yang kecil tidak diberikan susu seperti sepatutnya.

"Ibu mereka dikatakan tidak bekerja manakala ayah bekerja sebagai penjual ikan," katanya. -K! ONLINE