Menariknya, aiskrim diet yang diusahakan oleh Abdul Wahab Hussin, 42, dan isteri, Azlini Ismail, 37, dari Kampung Repek dekat sini itu menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta campuran susu segar.

Abdul Wahab berkata, aiskrim diet itu turut dihasilkan dengan menggunakan kandungan gula yang rendah.

“Biasanya mereka yang sedang diet tidak sanggup melanggar ‘pantang’ dengan memakan aiskrim kerana disebabkan oleh kandungan gula.

“Namun selepas saya memperkenalkan hidangan ini ia mendapat permintaan tinggi apabila mereka yang diet sudah tidak takut untuk menjamahnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 Abdul Wahab memberitahu, aiskrim diet itu dijual dengan harga RM2 sebatang.

Katanya, golongan diet tidak perlu khuatir kerana aiskrim itu dihasilkan mengikut jumlah kalori diperlukan oleh badan ketika berpantang.

Ujarnya, selain aiskrim diet dia turut menyediakan pelbagai pilihan perisa menarik kepada penggemar kudapan itu.

"Antara perisa aiskrim diet yang dijual lobak merah, tembikai, kiwi dan campuran buah-buahan (tuti frutty)

“Bagaimanapun, aiskrim perisa kit-kat dan oreo merupakan merupakan produk yang paling laris di pasaran ketika ini,” katanya.

Abdul Wahab berkata, kesemua perisa itu dijual dengan harga RM1 sebatang.-K! ONLINE