Ramlee Abdullah, 57, dan Haspalela A. Rahman, 52, membuat pengakuan itu selepas sembilan pertuduhan terhadap mereka dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan Majistret Nurunaim Abdullah. 

Mereka didakwa secara bersama menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik Fadzilah Mohamad, 41, untuk membuat bayaran pinjaman Amanah Ikhtiar atas nama pelbagai individu dan melakukan pengeluaran tunai di Blok A, Perumahan Pak Mahat di sini dan di mesin ATM Maybank sebuah stesen minyak di daerah ini antara 10 Februari hingga 1 April lalu dengan transaksi berjumlah RM6 hingga RM400.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh kerana dikhuatiri akan menggangu mangsa yang tinggal di kawasan perumahan sama. 

"Terdapat tiga laporan polis berkaitan mangsa dan kedua-dua tertuduh iaitu pada 18 April lalu yang mana mangsa mendakwa tertuduh mengganggu dan mengambil bekalan makanan yang didermakan orang ramai untuk diletakkan di kedai runcit milik tertuduh. 

"Seorang anggota polis juga membuat laporan pada 24 Mei lalu kerana memberikan amaran kepada tertuduh selepas mangsa meminta polis ke rumahnya akibat diganggu dan laporan terakhir ialah semalam (31 Mei) di mana mangsa sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana trauma dengan tertuduh," katanya.

Peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya diberikan jaminan atas faktor mereka bersedia untuk tidak menganggu mangsa selain mereka telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

"Untuk pengetahuan mahkamah, anak guam saya juga adalah orang yang menjaga kebajikan mangsa selepas kematian suami dan hubungan mereka akrab seperti keluarga. Malah, jika mangsa sakit sebelum ini, anak guam saya yang membawanya ke hospital," katanya.

Kedua-dua majistret bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama