Tertuduh, G. Kumara Guru, 29, dan S. Nishanthini, 28, yang masing-masing dituduh di mahkamah berasingan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret  Solehah Noratikah Ismail dan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Kumara Guru didakwa menipu dan berpura-pura sebagai 'Datuk Seri' bagi memperdaya dua angggota polis untuk sesuatu yang tidak wujud di Persiaran Batu Belah, Bukit Raja, di sini kira-kira pukul 6.30 pagi pada 17 Mac lepas.

Nishanthini pula didakwa menipu dan menyamar sebagai 'Datin Seri' dengan meletakkan namanya  dengan gelaran itu pada kad perniagaannya dan di akaun Facebook miliknya pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan tersebut, Kumara Guru dan Nishanthini didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Kumara Guru yang bekerja sebagai peniaga sayur juga turut menghadapi dua lagi pertuduhan di hadapan Majistret Solehah Noratikah.

Dia didakwa sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis dengan cara enggan bekerjasama ketika ingin diperiksa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya  jika sabit kesalahan.

Peniaga sayur itu turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas untuk memeriksa kad pengenalannya mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman, Kumara Guru, didakwa berkelakuan kurang sopan  di tempat awam dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis, mengikut  Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang mana dia boleh didenda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Dia mengaku tidak bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Persiaran Batu Belah, Bukit Raja kira-kira pukul 6.30 pagi, 17 Mac lepas.

Mahkamah membenarkan Kumara Guru diikat jamin sebanyak RM10,500 sementara   Nishanthini  diikat  jamin dengan RM7,000. Kes akan disebut semula pada 23 April dan 8 Mei depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali, Amira Abd Aziz dan Tan Chiew King manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerrard Lazarus. - Bernama