Apa itu publisiti? Publisiti adalah cubaan sengaja bagi mengurus pandangan umum terhadap sesuatu subjek. Subjek publisiti termasuk orang (sebagai contoh, ahli politik dan artis), barangan dan perkhidmatan, pelbagai jenis organisasi serta hasil kerja seni atau hiburan. Dari segi pemasaran, publisiti adalah komponen promosi yang merupakan satu komponen pemasaran.

Justeru, sebagai pelaku seni atau peniaga, mengurus publisiti dengan berjaya adalah tugas yang perlu dilakukan dengan penuh strategi. Kalau silap langkah, ia akan gagal sekali gus me­rugikan. Jika kena gaya, meletus dan meledak-ledak tanpa dapat disekat lagi. Juga, buruk atau baik sesuatu publisiti, ia tetap mendatangkan impak tersendiri.

Itulah yang terjadi apabila pe­nyanyi yang berasal dari Indonesia, Upiak Isil berjaya memasarkan dirinya dengan publisiti yang betul. Dengan imej separa gila, menyanyi terjerit-jerit tanpa notasi yang merdu, lagu Tak Tun Tuang tiba-tiba membadai persada seni tempatan. Berbondong-bondong penyanyi mahir dan kurang mahir tetapi menjual diri melalui platform seperti Smule atau YouTube membikin parodi lagu tersebut, juga mendadak popular. Tak Tun Tuang juga menjadi nyanyian kegemaran kanak-kanak yang cuba memahami bait-bait liriknya sebelum ketawa berderai kerana melodinya yang menghiburkan.

Walaupun banyak yang me­ngutuk dan berpendapat memberi ruang kepada Upiak yang tidak semenggah akan merosakkan industri, hakikatnya, strategi publisiti wanita dengan nama asal Silvia Nanda itu berjaya. Dia berjaya kerana mampu menebalkan muka dengan imej kain batik dan selipar tandas serta penampilan tidak mandi yang hanya berbedak sejuk, sedangkan kebanyakan penyanyi wanita lain mahu tampil paling menawan.

Beberapa bulan lalu, Datuk Seri Vida atau DSV yang juga sibuk mahu menjadi penyanyi apabila muncul dengan single I Am Me, teruk dihempap kritikan. Slanga bahasa Inggerisnya dijadikan satu lelucon, I Am Me menjadi ayam mi, dan tentulah suaranya yang ke laut serta imej yang ditonjolkan membuatkan dia dihentam tanpa ihsan. Namun, single itu menjadi hit dan siulan sesiapa sahaja yang mendengar karya Edry Abdul Halim itu. Sebagai seorang usahawan, DSV sedar strategi pemasaran dan publisiti yang baik mampu meledakkan produknya dan dia berjaya.

Selain Upiak dan DSV, cara penyanyi muda merangka strategi untuk memasarkan single yang berjudul Pematah Hati, Nabila Razali juga amat menarik. Dia mempermainkan bukan sahaja peminat, tetapi media me­ngenai kononnya sempat menjalin hubungan mesra dengan pelakon Aedy Ashraf.

Hanya dengan memuat naik sekeping gambar mereka duduk berdua dalam keadaan intim di Instagramnya, ia pantas menuai perhatian. Maka, publisiti pun mulus berjalan sehingga apabila single tersebut dilancarkan, Nabila mengaku kisah cinta mereka hanya satu gimik bagi memancing kesedaran media dan khala­yak terhadap produk terbaharunya. Aedy hanya kekasih upahan untuk klip video single tersebut.

Tindakannya itu ditempelak. Ramai yang marah-marah, tetapi hakikatnya Nabila berjaya meraih publisiti. Jika tidak, masakan selepas hanya seminggu dimuat naik ke YouTube pada 28 November lalu, klip video tersebut mendapat 2.5 juta tontonan dengan 75,000 penonton menyukainya dan hanya 2,000 yang berasa jelek. Sementelah, penggunaan perkataan ‘cumi cumi’ dan melodinya yang catchy membenarkan Pematah Hati mematahkan hati pendengar.

Ya, mahu menjadi terkenal pada masa ini tidak perlu susah apatah lagi dengan kuasa tular yang cukup digemari masyarakat. Tinggal lagi sama ada memilih melakukan publisiti dengan cara yang lebih bermo­ral, itu adalah pilihan masing-masing kerana pada akhirnya, mereka tetap memerlukan publisiti untuk dikenali sekali gus memasarkan produk yang dijual.

Kita sebagai pengguna atau pembaca dan peminat juga mempunyai mekanisme memilih. Sama ada menerima ataupun mengabaikannya dan memilih produk lain, itu terserah. Sebagai media, kami juga mengawal dan memberi pendedahan sama rata kepada semua pejuang publisiti. Jangan marah-marah. Selera di tangan kita.

Strategi pengurusan publisiti yang berjaya