Saiful, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Hulu Besut, dekat sini hari ini antara tiga pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sekolah itu yang diumumkan hari ini dengan mendapat semua 'A' dalam empat subjek dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0.

Anak sulung kepada pasangan petani dan tukang jahit itu berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah satu sejarah buatnya kerana dapat membuktikan kepada kedua-dua ibu bapa bahawa dia masih boleh berjaya meskipun tidak dapat belajar sepenuhnya seperti rakan yang lain.

"Sebelum ini, saya bukanlah antara pelajar yang cemerlang dan pernah hampir berputus asa namun dorongan daripada keluarga membuatkan saya kembali berfikir akan keputusan saya untuk berhenti separuh jalan akan mengecewakan ibu bapa saya.

"Sebagai anak sulung ia menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka. Jadi, saya terpaksa mencuri masa antara mencari rezeki dan mengulangkaji pelajaran," katanya ketika ditemui pemberita.

Apabila tamat waktu persekolahan beliau akan terus pulang ke rumah untuk membuat persediaan bahan-bahan bagi jualan gerai burger yang diusahakannya sendiri berhampiran kediaman keluarganya di Kampung Pasir Akar.

"Sepanjang tiga semester di Tingkatan Enam hanya semester pertama sahaja saya mampu membeli buku rujukan kerana tidak mahu membebankan ibu bapa saya.

“Untuk semester seterusnya saya akan meminjam buku rujukan daripada Perpustakaan Awam Jertih dan sentiasa memperbaharui pinjaman itu setiap dua minggu," katanya yang bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di universiti awam tempatan.

Ibunya, Yusmaimi Yusof, 44, berkata, dia terpaksa memujuk anaknya itu daripada berhenti sekolah kerana mengetahui anaknya adalah seorang pelajar cemerlang di sekolah dan berpotensi mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM.

"Saya hanya mengetahui potensi Saiful bila saya hadir ke program Temu Murni di sekolahnya dan hari ini dia telah membuktikan kebolehannya yang mana saya sebagai ibu amat bangga dengan anak sulung saya ini," katanya. - Bernama