Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Rakayah Madon berkata, secara keseluruhannya, seramai 5,055 pelajar atau 98.17 peratus calon sekolah berjaya memperoleh sijil STPM pada tahun ini berbanding 4,680 calon atau 98.11 peratus tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah calon tersebut , seramai 15 calon atau 0.29 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P), manakala 3,370 calon atau 65.45 peratus pula lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P).

"Selain itu, seramai 923 calon atau 17.93 peratus lulus penuh dalam tiga mata pelajaran (3P), 477 calon (9.26%) lulus penuh dalam dua mata pelajaran (2P), manakala 270 calon (5.24%) lulus penuh dalam satu mata pelajaran (1P)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Rakayah memberitahu, dari segi pencapaian individu pula, seramai 51 pelajarcatau 0.96 peratus calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini telah berjaya mencapai PNGK 4.00 pada 2017.

Manakala katanya, seramai 1,726 orang atau 33.59 peratus mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 1,428 orang atau 29.94 peratus pada 2016.

"Statistik itu menunjukkan pertambahan seramai 298 calon atau peningkatan sebanyak 3.65 peratus pada tahun ini," katanya lagi. - K! ONLINE