Mencari kedai makan di negara ini merupakan perkara yang cukup mudah. Manakan tidak, ke mana sahaja kita pergi pasti ada kedai makan yang dibuka. Pilih sahaja yang mana satu untuk memenuhi selera daripada kedai tepi jalan hinggalah ke restoran mewah.

Bagaimanapun, tidak semuanya menghidangkan menu yang boleh dimakan orang Islam atau lebih tepat memenuhi kehendak syarak iaitu makanan yang halal.

Bagi seorang Muslim, mencari yang halal itu adalah satu kewajipan, maka selain tempat makan selesa, makanan enak dan harga berpatutan, status halal sesebuah restoran juga perlu diambil berat, malah ia harus dijadikan keutamaan.

Kita sering kali terbaca berita dalam akhbar dan melalui perkongsian di laman sosial mengenai restoran di­serbu pihak berkuasa gara-gara tidak mempunyai sijil perakuan halal, memaparkan logo halal tamat tempoh dan menjual makanan yang diragui sumbernya.

Lebih menyedihkan, ada juga sesetengah daripada mereka menggunakan ayat-ayat suci al-Quran yang digantung pada dinding restoran bagi mengaburi mata pelanggan beragama Islam supaya mengunjungi premis mereka.

Walhal, pemiliknya sendiri tidak tahu surah apa yang digantung, malah hampir 100 peratus pekerjanya juga bukan beragama Islam.

Isu restoran dan makanan halal merupakan perkara sensitif kepada umat Islam di negara ini dan ia seharus­nya diambil berat terutama bagi pengusaha restoran supaya kepercayaan yang diberikan pelanggan kepada mereka tidak dikhianati.

Walaupun tidak semua pemilik restoran culas dalam menjalankan tanggungjawab bagi memenuhi keperluan ini, namun sebagai pelanggan kita harus menjadi pengguna bijak dalam memilih tempat makan.

Antara kaedah yang mungkin boleh digunakan sebagai panduan untuk memilih restoran diyakini halal ialah dengan mengenal pasti pemilik dan pekerjanya sama ada beragama Islam atau sebaliknya. Cara yang paling mudah adalah dengan bertanya secara terus atau hanya melihat perilaku mereka.

Jika pemilik atau pekerjanya seorang Muslim, sekurang-kurangnya pelanggan tidak perlu risau de­ngan makanan yang disediakan kerana mereka pasti lebih tahu untuk membezakan perkara yang haram dan halal berbanding orang bukan Islam.

Di Malaysia bukan sukar hendak mencari kedai makan yang menyediakan makanan diyakini halal, namun ­janganlah pula mengambil mudah mengenainya tanpa usul periksa terlebih dulu.

Malangnya, segelintir masyarakat Muslim hari ini tidak prihatin atau kurang kesedaran soal mencari tempat makan halal. Cukup sekadar ada ayat-ayat al-Quran tergantung pada dinding, sudah meyakinkan mereka untuk menjamu selera di situ.

Ataupun terdapat susun atur serta perhiasan kedai yang menarik dan label ‘no pork’, beratur panjang mereka menunggu untuk mendapatkan tempat duduk di dalam restoran.

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang ramai. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)