Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, kedua-duanya yang berusia 21 dan 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini pada Sabtu lalu.

Katanya, siasatan dijalankan selepas pemilik pusat jagaan tersebut membuat laporan polis berhubung satu video yang tular di laman sosial Facebook memaparkan pekerjanya bertindak kasar terhadap dua kanak-kanak berusia empat tahun.

"Rakaman video itu menunjukkan salah seorang suspek bertindak mengangkat seorang budak perempuan yang menangis dan meletakkannya di atas badan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang merangkak.

"Kejadian itu dipercayai berlaku dua minggu lalu dan rakaman itu dipercayai tular selepas disebarkan oleh seorang bekas guru wanita di tadika berkenaan yang berhenti kerja pada 1 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd. Nor Yhazid, pemeriksaan pada tubuh kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemui sebarang kecederaan.

"Kedua-dua suspek direman dan siasatan akan diteruskan termasuk memanggil saksi-saksi berkaitan," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. K! ONLINE