Menegaskan demikian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan turun lapangan bertemu sendiri dengan semua empat cabang rangkaian itu.

Ini untuk mendapatkan maklumat selain melihat sendiri proses bagaimana sesuatu produk dihasilkan, dikilangkan, dibekalkan sehingga sampai kepada pengguna, katanya. 

"Jika sebelum ini kita hanya mendengar taklimat sahaja berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi apabila SST dilaksanakan kita akan turun padang bertemu pengilang dan jika ada aduan daripada pengguna kita boleh buat perbandingan margin keuntungan yang diambil oleh peruncit. 

"Kita faham apabila keluar dari kilang kepada pengedar, pemborong dan peruncit ia akan melibatkan kos yang lain juga seperti kos pengangkutan, pekerja, sewa dan utiliti. Peniaga memang berhajat untuk untung tetapi yang tak boleh adalah untung berlebihan," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi menyemak pelaksanaan SST bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Oriental Food Industries Sdn Bhd (Oriental Food) di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengarah KPDNHEP Negeri Melaka, Jaiya Abu; dan Ketua Pegawai Eksekutif Oriental Food, Datuk Son Tong Leong. 

Saifuddin Nasution berkata peniaga didapati tamak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua dan berikutnya. 

Menurut beliau selain pengilang pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan persatuan perniagaan sektor peruncitan bagi membincangkan mengenai pematuhan perundangan AKHAP 2011.

Berkuatkuasa 1 September, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas. 

Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus setelah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST. - Bernama