Masih terlalu awal untuk memperkatakan kesan SST terhadap harga barangan kerana peniaga masih menjual barangan stok lama yang tidak dikenakan cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan sejak tiga bulan lalu, sekaligus pelaksanaannya masih belum memberi impak kepada pengguna setakat ini.

Bagi pengguna mereka mengharapkan agar situasi ini berkekalan kerana SST seharusnya memberi kesan minimum kepada pengguna sambil menggesa pihak berkuasa memantau peniaga.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di sebuah kedai makan nasi kandar terkenal di Jitra mendapati tiada kenaikkan harga yang berlaku dan harga makanan dan minuman di premis itu masih kekal sama.

Seorang pekerja kedai makan tersebut berkata sebarang kenaikan harga makanan dan minuman akan dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu.

"Buat masa ini semua harga masih pada harga lama kerana bekalan bahan mentah kami beli dengan harga borong sebelum pelaksanaan SST ini. Jika ada kenaikan, kami akan maklumkan kepada pelanggan yang datang ke kedai," katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di Pasar Besar Jitra juga mendapati para peniaga tidak menaikkan harga barangan bahan mentah.

Berkuatkuasa hari ini, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus setelah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

Di PAHANG, situasi sama berlaku apabila tinjauan di sebuah kedai makan di Kuantan, mendapati harga makanan dan minuman yang dijual masih sama seperti semalam, dan rata-rata pelanggan berharap perkara itu dapat dikekalkan pada masa akan datang. 

Bagi pekerja swasta Mahidi Ahmad, 49, harga barangan di sebuah kedai runcit di Kuantan masih sama semasa membeli barangan keperluan hari ini. 

"Sebenarnya saya bimbang juga jika ada perbezaan harga jika ke pasaraya pada hujung bulan ini untuk membeli barangan dapur selepas gaji... bimbang ada peningkatan ketara dalam jumlah semua pembelian kerana lazimnya beli dalam kuantiti kecil ini tidak begitu terasa," katanya. 

Di NEGERI SEMBILAN, tiada perubahan harga direkodkan bagi harga biskut berdasarkan perbandingan yang dibuat semalam dan hari ini. 

Berdasarkan tinjauan di sebuah pasaraya semalam telah merekodkan pembelian sebungkus biskut jenama Hup Seng pada harga RM3.95 dan hari ini harganya masih kekal sama.

Seorang pengguna, Dewi Jidin, 58, berkata harga yang ditawarkan masih masih sama walaupun pelaksanaan SST telah dilaksanakan hari ini.

"Harga masih lagi stabil kerana sebelum ini saya membeli beras dengan yang sama RM13.90 bagi lima kilogram beras, pelaksanaan SST ini masih baru lagi, jadi tidak nampak kenaikan harga di situ," katanya.

Di KUALA LUMPUR, pengguna memanfaatkan cuti hujung minggu bagi meninjau dan membuat perbandingan harga susulan pengenalan semula SST.

Pekerja swasta Nurul Idayu Menhad, 31 berkata harga barangan di kedai yang sering dikunjunginya di Jalan Ipoh, masih meletakkan harga ketika sifar GST dilaksanakan.

"Harga barangan masih lagi sama dan setakat ini pada pemerhatian sejak pagi tadi membeli belah, tiada barang yang dinaikkan harga, " katanya.

Anggota tentera Saparis Safain, 37, berkata dia dan keluarga keluar meninjau harga barangan dan perkhidmatan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Hari ini saya ke pusat servis kenderaan dan ketika membayar...di dalam bil, SST sudah pun dikenakan bagi perkhidmatan servis kereta," katanya.

Di PULAU PINANG pula, tinjauan di beberapa restoran nasi kandar di Seberang Jaya mendapati mereka mengenakan SST sebanyak enam peratus ke atas makanan dan minuman dijual di premis mereka.

Tinjauan di Restoran Nasi Kandar Subaidah mendapati menu yang sama dipesan semalam iaitu mi goreng biasa empat pinggan, roti kosong, air suam, nescafe ais dan limau ais ialah RM21, namun hari ini penambahan RM1.26 bagi SST.

Sementara itu , tinjauan  di Pasaraya  GAMA  mendapati harga semua barangan masih belum berubah daripada semalam.

Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran GAMA  Leong Hau Soon belum ada pindaan ke atas harga barangan namun akan ada perubahan harga sekinya ada kenaikan harga oleh pembekal.

Di SABAH, kebanyakan pasaraya utama, kedai runcit dan restoran di Kota Kinabalu masih menjual barangan dan perkhidmatan mereka pada harga yang sama sebelum dan selepas pelaksanaan SST.

Tinjauan di sebuah premis menjual barangan pencuci mendapati harga empat unit sabun mandi buku berjenama hari ini masih dijual pada harga RM9.75 sama seperti semalam manakala hidangan ringkas sebuah restoran masih menawarkan harga RM4.40  hari ini sama seperti hari sebelumnya.

"Situasi pembelian oleh pelanggan sejak semalam juga seperti biasa. Mungkin mereka juga belum berapa jelas dengan pelaksanaan SST," kata seorang pekerja sebuah pasaraya utama yang mahu dikenali sebagai Saina, 32.

Tinjauan di Tawau juga mendapati peniaga masih belum melaksanakan SST berikutan barang yang dijual adalah stok sewaktu GST.

Di SARAWAK, tinjauan di Kuching mendapati tiada sebarang kenaikan harga barang dan makanan di gerai-gerai dan kedai runcit.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata hanya 38 peratus barang yang dikenakan SST berbanding 60 peratus ketika  pelaksanaan GST dahulu.

Dalam satu sidang media selepas Walkabout Tinjauan Harga Barangan di Kuching, Chong turut mengingatkan para peniaga kecil-kecilan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terhadap pengguna.

"Mana- mana peniaga  yang didapati menaikkan harga barangan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan," katanya.- Bernama