Pengurus Besar Pemasarannya, Kong Mun Keen berkata, jika harga itu meningkat sekali pun ia masih di tahap minimum.

"Adalah terlalu awal untuk menyatakannya dan kami sendiri masih lagi menunggu butiran lanjut daripada kerajaan. Namun, kami tidak melihat sebarang kenaikan harga dan jika ada pun, ianya adalah minimum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan kedua LG di sini yang dilakukan oleh Pengarah Urusan syarikat itu, Kim Kyu Tae .

Mun Kee turut menyifatkan langkah memperkenalkan semula SST bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dapat merangsang perbelanjaan pengguna.

Malah, jualan produk LG Malaysia juga terbukti meningkat terutamanya produk peti sejuk, mesin basuh dan televisyen pintar selepas pelaksanaan GST berkadar sifar pada 1 Jun lepas.

"Ramai yang menganggap tempoh antara GST berkadar sifar dan pelaksanaan semula SST itu sebagai masa terbaik bagi membeli produk elektrik baharu," katanya.

Sementara itu, Mun Kee berkata, pembukaan terbaharu itu menjadikan LG Malaysia kini memiliki 27 cawangan di serata Malaysia manakala tiga lagi premis akan dibuka menjelang akhir tahun ini.

"Kami berharap dapat membuka satu cawangan di Kuala Terengganu menjelang akhir tahun ini memandangkan potensi besar yang ada di kawasan Pantai Timur itu," katanya.

Pada masa ini, LG Malaysia mempunyai dua cawangan di Pantai Timur iaitu masing-masing di Kuantan, Pahang dan di Kota Bharu, Kelantan. - Bernama