Ketua Perniagaan Kecil dan Pemula Niaga Sage Asia, Kamlesh Mahtani berkata walaupun pelaksanaannya kurang dari 10 hari, peniaga tidak perlu mendapatkan sistem baharu untuk melaksanakan rejim percukaian berkenaan.

"Sistem sudah ada dan peratusan cukai yang dikenakan juga jelas. Walaupun SST akan dilaksanakan mulai 1 Sept, syarikat mempunyai masa sehingga akhir September untuk mendaftar dengan jabatan kastam," katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada GST merupakan cukai yang lebih komprehensif dan boleh menghalang ketirisan cukai, Mahtani bersetuju bahawa sistem cukai terdahulu lebih berstruktur berbanding SST, namun penalti yang lebih berat menanti mereka yang cuba mengelak cukai baharu ini setelah dilaksanakan kelak.

"Penalti yang lebih tinggi akan dikenakan ke atas syarikat yang mengelak cukai dengan mengemukakan tuntutan palsu, dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Menurut Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018, orang yang mengelak cukai atau membantu seseorang untuk tidak membayar cukai, boleh didenda 10 kali hingga 20 kali jumlah cukai jualan.

Jika didapati bersalah, mereka juga boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, atau lebih buruk lagi didenda dan dipenjara.

Sekiranya kesalahan itu diulangi, mereka boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali ganda jumlah cukai jualan, atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Beliau berkata SST lebih akomodatif kepada perniagaan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana memandangkan GST terdahulu mempunyai terlalu banyak peraturan menyebabkan gangguan kepada aliran tunai.

Beliau berkata menerusi sistem baharu itu, cukai 10 peratus hanya dilaksanakan pada satu peringkat, terutama pada peringkat import berbanding GST, yang dikenakan di setiap peringkat, beliau berkata perniagaan hanya akan membuat pembayaran cukai kepada kerajaan selepas menerima barangan tersebut.

"Semasa era GST, syarikat-syarikat perlu membayar kepada kerajaan cukai input terlebih dahulu sebelum pembelian dilakukan. Yang lebih menyukarkan ialah proses tuntutan mengambil masa yang lama, sekali gus menyusahkan perniagaan," katanya.

Pada Isnin, Dewan Negara meluluskan lima rang undang-undang berkaitan pelaksanaan SST, yang akan dilaksanakan pada 1 Sept iaitu Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2018. - Bernama