Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 8.40 malam semalam dan merupakan individu ketujuh yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut sumber, suspek yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat percetakan dipercayai merupakan salah seorang ejen yang mendapatkan pelanggan yang ingin membeli sijil pertauliahan palsu tersebut tanpa perlu menghadiri sebarang kursus.

“Pasukan penyiasat sedang mengenalpasti dalang utama sindiket ini yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil-sijil palsu tersebut.

“Kita tidak boleh mengambil ringan perkara ini kerana terdapat orang-orang kenamaan didapati turut mendapatkan khidmat sindiket ini untuk mendapat sijil  berkenaan.

“Sekiranya perlu, kita akan memanggil mereka bagi membantu siasatan,” ujarnya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung orang-orang kenamaan yang dipercayai telah membeli sijil-sijil pertauliahan palsu daripada sindiket ini.

Tambah beliau, pasukan penyiasat sedang meneliti dokumen-dokumen yang dirampas dalam beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak 15 April lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berkait dengan siasatan kes ini.

Sijil pentauliahan palsu itu boleh diperolehi dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000.00 bergantung dengan jenis sijil dan IPTS.

Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - K! ONLINE