Kesemua lelaki terbabit yang berusia 31 hingga 42 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Klang, dekat sini kira-kira pukul 1.45 petang.

Bagaimanapun salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas percakapannya dirakam.

Sumber memberitahu, pada 21 Oktober tahun lalu, kesemua anggota penguat kuasa MPK terbabit telah membuat pemeriksaan lesen terhadap sebuah kafe siber di Klang dan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan.

"Bagaimanapun, penguat kuasa MPK terbabit dipercayai telah meminta dan mengambil wang sebanyak RM1,000 daripada pengusaha supaya tiada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap premis itu," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya kini dalam proses merakam percakapan kesemuanya bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman ke atas semua suspek di Mahkamah Klang esok. - K! ONLINE