Menurut sumber, lelaki berusia 56 tahun yang juga merupakan seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 12.40 tengahari.

Jelasnya, lelaki itu berkemungkinan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor esok.

Difahamkan, bekas Ahli Parlimen itu telah menggunakan kedudukannya semasa memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah Felda dengan mengambil tindakan mengesyorkan dan meluluskan perlantikan sebuah syarikat pencetakan.

Beliau disyaki mempunyai kepentingan bagi kerja penerbitan Akhbar 1Suara di Felda bermula 2012 hingga 2015 yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, beliau telah menerima suapan wang bernilai RM50,000 pada tahun 2013 dan menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor bernilai kira-kira RM180,000 setahun kemudian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Jelasnya, lelaki itu akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan tanpa balasan - K! ONLINE