Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut telah disahkan oleh pihak SPRM yang mana beliau dimaklumkan pegawai-pegawai SPRM telah datang ke ibu pejabat Finas pada 7 Jun lalu.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dalam apa jua perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam mana-mana jua agensi atau jabatan di bawah bidang kuasanya.

"Perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam industri kreatif negara kita, sekiranya ada, boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang elemen berkenaan maka tindakan tegas perlu diambil mahupun secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara tersebut dengan serta-merta. - Bernama