Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, antara maklumat yang diterima pihaknya termasuk jamuan dan pemberian sumbangan yang dipercayai untuk tujuan sogokan. 

“Kita perlu meneliti terlebih dahulu maklumat atau aduan yang diterima. Tidak semestinya memberi makan itu suatu kesalahan dan ia terpulang kepada pandangan pihak pendakwa raya. 

“Seramai lima pegawai SPRM akan ditempatkan di Cameron Highlands bagi melakukan risikan dan memantau aktiviti yang melibatkan PRK Cameron Highlands termasuk ceramah dan kempen,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini bagi memaklumkan operasi dua bilik gerakan SPRM sempena PRK Cameron Highlands yang akan dibuka bermula esok di pejabat SPRM Perak, Meru Raya di sini dan CH Merlin Inn, Tanah Rata, Pahang. 

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi SPRM Perak, Rosley Mohamad Satar dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Tambah Zainul, maklumat yang diterima akan disalurkan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum tindakan lanjut diambil. 

Katanya, bilik gerakan tersebut juga turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Peguam Negara dan beberapa agensi kerajaan yang lain. 

“Dua bilik gerakan ini akan menerima maklumat berkaitan dengan kesalahan rasuah seperti yang termaktub di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Pindaan 2012. 

“Orang awam di Cameron Highlands dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan PRK ini diharap dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah dan kesalahan PRK ini kepada kami,” katanya. 

Bilik gerakan di Ipoh boleh dihubungi melalui nombor telefon 05-526 7000 sambungan 163 dan nombor faksimili 05-526 1214 atau emel prk@sprm.gov.my manakala bilik gerakan di Cameron Highlands boleh dihubungi melalui nombor telefon 019-600 2041 setiap hari bermula esok hingga tamat proses pengundian. - K! ONLINE