Pegawai Pengurus PRK itu, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pasukan itu turut bekerjasama dengan calon daripada kedua-kedua parti bertanding bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang tempoh berkempen.

"Untuk makluman juga, saya rasa tiada isu melibatkan keselamatan kerana kita mempunyai anggota keselamatan yang akan memantau kedua-dua parti yang akan berkempen.

"Parti yang bertanding perlu mendapatkan permit daripada pihak polis sebelum dibenar menggunakan kemudahan disediakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi tujuan berkempen," katanya ketika ditemui pemberita pada proses penamaan calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

PRK itu yang ditetapkan pada 8 September ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, iaitu bekas ahli MBPJ, Halimey Abu Bakar dan calon Pas, bekas ahli Exco kerajaan Selangor, Dr. Halimah Ali.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK kedua diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan kematian penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

PRK itu turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong. - Bernama