Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR telah menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Pilihan Raya, Kota Kinabalu pada 23 Ogos lalu yang telah mengisytiharkan keputusan tersebut.

Jelasnya, SPR mengambil maklum dan akur kepada keputusan tersebut serta tidak akan membuat rayuan terhadapnya.

“Bagaimanapun, jika rayuan dibuat oleh penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Seri Hanifah Aman dan dinamakan sebagai respondan, SPR akan menghadiri prosiding tersebut selain mengambil bahagian di dalamnya setakat yang perlu.

“Buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh untuk merayu tamat, iaitu pada 29 Ogos ini bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azhar Azizan, pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil sekiranya ia perlu diadakan.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos lalu memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu,  justeru kemenangan tersebut terbatal.

Petisyen itu difailkan Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional. - K! ONLINE