Setiausaha SPR ,Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahun kedua 2018 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos 2018 di 961 tempat-tempat pameran di seluruh negara selaras dengan peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. 

"Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April 2018 hingga 30 Jun 2018 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT suku tahun kedua 2018. 

"Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT suku tahun kedua 2018, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B," katanya lagi. 

Mohamed Elias berkata,  bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT suku tahun kedua 2018 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C. - Bernama