Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, ketika ini kebanyakkan pusat mengundi masih lagi terkawal dan jumlah mereka keluar mengundi pada sebelah awal pagi agak sedikit.

Katanya, sehingga pukul 9 pagi, hanya sembilan peratus pengundi direkodkan telah keluar mengundi di DUN Balakong manakala 12 peratus di DUN Seti Setia.

"Mungkin disebabkan hari ini hari minggu ramai yang ambil peluang untuk berehat pada awal pagi dan mengambil masa untuk keluar mengundi. 

"Bagi mereka yang bekelapangan, ini adalah waktu terbaik untuk mereka keluar mengundi kerana keadaan cuaca ketika ini juga agak baik,"katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat mengundi di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen U1, di sini hari ini.

Pada masa sama, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Penerangan telah menggerakkan kenderaan untuk melakukan hebahan bagi meminta orang ramai keluar mengundi.

"Hebahan ini telah kita lakukan sejak tiga hari yang lalu dimana sebanyak enam buah kenderaan telah digunakan untuk melakukan hebahan ini.

"Tiga buah kenderaan ditugaskan melakukan hebahan di DUN Seri Setia dan tiga lagi di DUN Balakong. Kita juga bekerjasama dengan semua media cetak dan elektronik untuk membuat hebahan ini," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang aduan atau laporan daripada mana-mana pihak sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua DUN ini, Othman berkata, tiada sebarang laporan rasmi diterima setakat ini. - K! ONLINE

Video oleh ABDUL RAZAK LATIF