Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Mohd. Fauzi Abdullah berkata, risikan telah dibuat sepasukan tujuh penguat kuasa JIM yang memantau dan menunggu kira-kira lima jam di beberapa lokasi sasaran sebelum Spiderman terbabit berjaya dicekup pada pukul 4.20 petang. 

Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu didapati memakai kostum Spiderman bagi menarik minat kanak-kanak dan pelancong mengambil gambar bersamanya dan mengenakan caj bayaran sebanyak RM5 untuk setiap keping yang diambil. 

"Lelaki warga asing ini turut menjual permainan kanak-kanak dan mempunyai pembantu iaitu seorang wanita berusia lewat 40-an bersama anak perempuannya.

"Hasil pemeriksaan pada Spiderman ini, kita dapati dia turut membawa salinan dokumen palsu. Kita menahannya atas kesalahan tinggal lebih masa di atas pas lawatan sosial," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd. Fauzi berkata, lelaki berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Terdahulu, tangkapan Spiderman oleh JIM itu turut tular dalam laman sosial Facebook dengan rata-rata netizen berpuas hati dengan tindakan tegas penguat kuasa berikutan taktik licik lelaki itu mendapatkan wang menerusi caj bergambar yang dikenakannya. - K! ONLINE