Ini penting bagi mengelak para peminjam menanggung beban sehingga memberi kesan negatif kepada kehidupan dan produktiviti mereka.

Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin berkata, ini berikutan ada pihak mendakwa Angkasa tidak mengawal had pinjaman ahli-ahli terutama penjawat awam.

Menurut beliau, Angkasa hanya bertindak selaku penyedia perkhidmatan potongan gaji kepada koperasi, bank, kesatuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ramai pihak beranggapan Angkasa memberi pinjaman, sebaliknya kita hanya agensi kutipan menerusi Sistem Pemotongan Gaji Angkasa (SPGA). Pinjaman atau kemudahan kredit ditawarkan oleh pihak lain misalnya koperasi dan bank.

“SPGA memberi banyak kemudahan kepada koperasi dan organisasi mengutip balik pinjaman, yuran dan sebagainya yang diberi kepada ahli-ahli koperasi dan lain-Iain organisasi dengan lebih sistematik dan terjamin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar semasa hadir pada Persidangan Tahunan Angkasa negeri Perak di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Terdahulu, majlis yang dihadiri seramai 612 perwakilan daripada 597 buah koperasi itu dirasmikan oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Azmi, melalui SPGA, pihaknya mempunyai dua kumpulan besar yang perlu diiaga iaitu pelanggan Angkasa dan majikan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 3.5 juta peminjam yang menggunakan khidmat SPGA termasuk 1.3 juta penjawat awam.

Katanya, setiap pelanggan Angkasa yang terdiri dari koperasi, syarikat insurans, bank-bank, GLC dan juga kesatuan-kesatuan diberikan akses kepada SPGA supaya pengawalan 60 peratus had keberhutangan ahli dapat dikawal.

“Kita tidak nafikan ada juga pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama Angkasa semasa menawarkan pinjaman dan akibatnya peminjam terjerat apabila jumlah hutang melebihi kemampuan.

“Dalam konteks ini setiap pelanggan Angkasa adalah bertanggungjawab bagi memastikan had keberhutangan dan segala jenis penipuan daripada pelbagai sudut dapat dikawal pada peringkat awal permohonan,” jelasnya. - K! ONLINE