Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata ketika ini, empangan-empangan di kawasan terlibat, yang membekalkan sumber air untuk loji rawatan air masih lagi dalam keadaan terkawal.

"SPAN akan sentiasa memantau rapi keadaan bekalan air yang dibekalkan kepada pengguna terutama semasa cuaca panas dan kering serta jerebu yang tidak menentu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mengelakkan pembaziran agar bekalan air mencukupi dan bertahan lebih lama.

Pada 1 Ogos lepas, dilaporkan pantai barat Semenanjung dan Sarawak mula berhadapan masalah jerebu susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Kebakaran hutan di Indonesia dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan. - Bernama