Serbuan dilakukan selepas PPM Pelabuhan Klang mengekori sebuah kereta jenis Toyota Vios sejauh 12 kilometer dari Jalan Klang - Banting bermula pukul 10 pagi.

Kosmo! difahamkan perumahan elit itu telah dijadikan markas sejak setahun lalu dengan sewa dianggarkan RM1,300 sebulan dan dipilih bagi mengelakkan pihak berkuasa dapat memasukinya secara mudah. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, sebaik tiba di kawasan perumahan tersebut pasukan serbuan tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan atas dasar prosedur sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada pihak pengurusan perumahan. 

Katanya, pihaknya yang kemudiannya dibenarkan masuk telah menuju ke sebuah unit rumah dengan mendapati kenderaan penyeludup diletakkan di luar pagar rumah tidak bertutup.

Difahamkan PPM mengambil masa hampir 10 minit bagi memasuki kawasan perumahan elit itu. 

"Pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios menemui 100 karton rokok seludup jenama Gudang Garam yang disimpan di bonet kenderaan tersebut. 

"PPM yang kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut menemui 798 karton rokok pelbagai jenama seperti Luffman, Canyon dan John White di simpan di rumah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nilai kesemua rokok seludup yang dirampas RM122,024.33 termasuk cukai. 

Jelas Rosman, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dengan kesemua rokok dan kereta yang dirampas kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut. 

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan sebanyak 21 kes dilaporkan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini oleh PPM Pelabuhan Klang. 

Jelasnya, nilai rampasan meliputi arak dan rokok dianggarkan RM10.6 juta termasuk cukai. - K! ONLINE